Sunday, September 14, 2008

PENDAHULUAN

“Bahasa Arab untuk semua”
Tanpa mengira apa status anda, anda sangat perlu belajar bahasa Arab. Ini berlandaskan kepada hadis Nabi yang bermaksud, “Belajarlah bahasa Arab dan ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Ini bermakna, selagi anda berstatus manusia, anda perlu belajar bahasa Arab.
Hadis di atas cukup ringkas tetapi padat. Ia membawa pengertian yang cukup besar kepada kita khasnya umat Islam. Suruhan belajar bahasa Arab ini adalah dalam bentuk kata kerja arahan ataupun fi-il amar. Menurut kebanyakan ulama hadis ia membawa hukum wajib.
Dalam hadis ini terdapat dua arahan utama iaitu belajarlah dan ajarkanlah. Ini bererti, kita wajib belajar bahasa Arab. Jika kita sudah pandai bahasa Arab dan mampu menguasainya, kita diarahkan pula agar mengajarkannya kepada orang lain.
Sehubungan itu, terdapat dua golongan utama di sini iaitu sama ada sebagai pelajar atau guru. Anda pilih yang mana satu yang anda mahu. Jika berhadapan dengan orang yang mahir dalam bahasa Arab, maka jadilah seorang pelajar yang mahu menuntut ilmu.
Sebaliknya jika bersama dengan orang yang tidak tahu berbahasa Arab, maka ajarkanlah mereka bahasa Arab. Jika sama-sama tidak tahu ajaklah rakan-rakan anda untuk mencari tempat yang sesuai untuk belajar.
Selain itu, hadis ini juga sebenarnya adalah merupakan suatu motivasi yang amat bermakna kepada guru-guru Bahasa Arab. Sekiranya kita perhatikan ungkapan “ajarkanlah kepada sekelian manusia”. Kita dapati Nabi telah menyediakan suatu pasaran yang cukup luas.
Kita juga mungkin tertanya-tanya kenapa Nabi tidak menyebut “ajarkanlah kepada kaum Muslimin?” Sebaliknya dalam hadis ringkas ini, baginda menyebut “ajarkanlah kepada sekelian manusia”.
Jadi, pasaran pelanggan memang cukup luas. Bahasa Arab adalah untuk semua makhluk bergelar manusia. Selagi seseorang bergelar manusia, maka dia perlu belajar Bahasa Arab. Ini bukan arahan sebarangan. Ini arahan Nabi kepada kita semua.
Cuma persoalannya, bagaimana seseorang guru bahasa Arab dapat meyakinkan orang ramai betapa pentingnya bahasa Arab.
Dalam hal ini, mungkin terlalu ramai di kalangan kita masih belum mengetahui kepentingan bahasa Arab. Jika sudah mengetahui kepentingannya pula ramai juga yang diberitahu bahawa bahasa ini sangat sukar dipelajari. Tidak ramai yang didedahkan dengan kaedah mudah mempelajarinya.
Sehubungan itu, usaha mempromosi kepentingan bahasa Arab dan teknik mudah mempelajarinya perlu diuar-uarkan kepada umum agar kita sama-sama mendepat kebaikan daripadanya.
Sehubungan dengan itu juga,sebagai seorang umat islam dan ilmuan agama khususnya amatlah digalakkan kepada kita untuk mengetahui kisah-kisah para anbiya serta menziarahi bumi anbiya dan para sahabat dimana mereka dilahirkan, sejarah perjuangan mereka serta strategi dakwah mereka agar kita mampu menghayati perjuangan mereka dalam membela islam.

No comments: